Wednesday, March 12, 2014

Review Filem : " ? " Tanda Tanya


Berkesempatan untuk menonton filem ini  tatkala ahli group Whatsapp saya hangat membincangkan tentang ideologi-ideologi  pluralisme, liberalisme, hedonisme dan 'isme-isme' yang lain, saya habiskan masa hampir satu jam setengah untuk cuba memahami mesej yang tersirat yang cuba dibawa oleh sutradara ternama Indonesia, Hanung Bramantyo dalam filemnya kali ini. Ditayangkan di Indonesia pada 7 April 2011 yang lalu, baru sahaja tahun 2014 ini saya berpeluang untuk menontonnya.

Secara keseluruhannya, filem ini menceritakan konsep perbezaan dan kepelbagaian masyarakat yang hidup dalam sebuah lokaliti majmuk yang saling berkait antara satu sama lain. Walaupun dalam komuniti sekecil Kampung Pasar yang mempunyai latar belakang pelbagai, nyata mesej tersirat yang cuba digarap oleh Hanung Bramanto mengundang seribu satu tafsiran daripada penontonnya. Nasihat saya kepada siapa-siapa yang ingin mulai menonton filem itu agar bersiap siaga dengan fikrah dan asas-asas Islam yang mantap.

Disclaimer : Ini hanya menurut pandangan saya, seorang awam yang beragama Islam yang sudah menonton, dan tergerak untuk menceritakan kepada masyarakat.


Cerita 1

Saya memberi gambaran mengikut aliran cerita dalam filem ini yang bersimpang-siur dan berselirat bagi memudahkan penceritaan dan pemahaman. Filem ini dimulai dengan cerita pertama, seorang isteri muslimah, Menuk ( Revalina S Temat ) yang bekerja di sebuah restoran Cina, An Kat Sut yang nyata ada penjualan khinzir dan minuman alkohol dalam perniagaannya. Dinyatakan Menuk merupakan wanita berjilbab yang sudahpun berkahwin dengan Soleh, si penganggur yang taat pada agama, namun tidak punya pekerjaan untuk menyara keluarga.

Ping Hen, anak muda Tauke An Kat Sun yang secara terangan menunjukkan permusuhannya terhadap Soleh, atas sebab yang samar saya kira, tidak pasti adakah permusuhannya kepada ISLAM ataupun permusuhannya atas dasar cemburu kepada MUSLIM ( diceritakan, Ping Hen dan Menuk punyai kisahnya tersendiri, yang akhirnya Menuk memilih Soleh sebagai suami kerana taatnya beliau kepada agama ).

Cerita 2

Pengisahan permurtadan seorang wanita yang sudah bercerai, Rika ( Endhita ) kepada Katholik namun diajari juga anak lelakinya, Abi dengan nilaian seorang Muslim, dihantar mengaji al-Quran di Masjid seperti kebiasaannya. Saya petik skripnya dalam filem, "...dan Aku pindah agama, bukan kerana Aku mengkhianati Tuhan.". Baginya hak untuk memilih Tuhan itu merupakan pilihannya sendiri, seolahnya bertukarlah ke mana-mana agama sekali pun, tujuannya tetap untuk menuju Tuhan.

Saya melihat kekeliruan yang berlaku kepada anak lelakinya, yang masih dididik dengan nilaian Muslim, ejekan kawan setadikanya kerana ibunya seorang Katholik, penuh soalan dan pertanyaan begitu-begini terhadap ibunya, hingga akhirnya dia boleh menerima keputusan dan keadaan ibunya ( seorang Katholik ) dan hidup seperti keluarga biasa yang lain.

Cerita 3

Teman Rika, Surya merupakan seorang pelakon pembantu yang menetap di Masjid, diakhir-akhir pekerjaannya, kelihatan tekanan hidup dan emosi seringkali mengganggu taraf hidupnya, yang akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran berlakon menjadi pelakon utama iaitu Jesus kepada upacara kebudayaan Gereja.

Konflik cerita yang kompleks ini berjaya membuatkan penonton untuk duduk dan berfikir sendiri, hadaf utama teknik penceritaan dimainkan. Sepertinya Pak Hanung ingin memberitahu dunia, kepelbagaian masyarakat di Indonesia, khususnya, hidup dalam harmoni dan toleransi beragama berasaskan pluralisme, dimana seorang manusia itu berhak untuk membuat pilihan beragama dalam kehidupannya, sehinggakan Rika memilih untuk murtad walaupun mendapat tentangan daripada suami dan keluarganya.

Contoh lain yang ingin saya bawakan, betapa kesempitan hidup yang dialami Surya ( Agus Kuncoro ), seorang Muslim membuatkan beliau yang pada mulanya ragu-ragu untuk menerima pelawaan Gereja akhirnya bersetuju untuk menjadi pelakon utama sebagai Jesus; setelah Ustaz ( lakonan David Chalik ) memberi nasihat yang moderat, tikamana selagi mana hatinya terjaga daripada mensyirikkan Allah, tiada upaya walaupun menjadi Jesus, mampu merubah hati. Tokoh agama yang moderasi juga cuba ditampilkan dalam filem ini seperti Pastor Gereja juga sedia malah terbuka untuk menerima seorang Muslim menjadi pelakon utama dalam acara kebudayaannya.

Adakah Pak Hanung mengerti dan mengetahui, beriman kepada Allah itu, bukan sahaja melalui hati, namun mesti juga dibuktikan dengan amal perbuatan ? Nah, saya melihatkan satu kerisauan ideologi yang dipromosi melalui filem ini.

Kritikan saya juga terhadap sesetengah agamawan yang lantas menawarkan solusi yang sedemikian tanpa memikir kesan dan akibat. Ustaz tersebut nyata melihatkan keterlebihan toleransinya dengan agama lain, malah tidak juga cuba untuk mencadangkan alternatif lain buat pemuda Surya ini. Normalisasi inilah yang cuba diterapkan dalam fikiran anak muda, dengan kesan akan lahirlah anak muda yang kurang sensitif kepada masyarakat sekelilingnya. Tinggal sahaja kita ini ditujah dengan pemikiran dari segenap sudut, dalam keadaan sedar ataupun tidak.



PERSOALAN YANG HAKIKI

Terlalu banyak konflik yang diceritakan melalui filem ini, yang nyata berakhir dengan mimpi bagaimana sebenarnya keharmonian yang akan dicapai sekiranya setiap orang mengikut untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Saya percaya pada konsep masyarakat dan komuniti, tetapi untuk hidup dalam kondisi hak asasi tanpa batasan dan syariat, ianya akan membawa kepada kemusnahan yang akan berbalik kepada kita sendiri. Akan hancurlah institusi kekeluargaan misalnya, kekeliruan menetapkan hak dan nasab keturunan, dan contoh-contoh kemudaratan yang lain.

Tidak boleh tidak, perlu ada Nizom yang syumul untuk kita rujuk dan ikut yang tidak pun - pada hemat saya - mengongkong kebebasan manusia itu sendiri. Kerana itu, syariat diturunkan untuk memandu manusia, akal manusia yang terbatas sahaja tidak cukup untuk menimbang-tara kebaikan atas keburukan. Wallahu'alam.










No comments: