Mata
yang dipejam terbuka. Mencelik sedar dari lena yang panjang. Lantas hatinya spontan
berbicara “ Alhamdulillah, terima kasih ya Allah! Kau masih beri aku segala.”
Sepanjang sepertiga malam itu, luluh
hatinya membisik kata cinta. Genta rasa seorang hamba. Sedaya-upaya dirinya
melaksanakan zikir akbar, solat penghubung diri kepada-Nya.
Bibir
mengungkap satu-persatu kata-kata cinta,
“ Dengan nama Allah yang maha Penyayang lagi
Maha Pengasih. “
“ Segala Puji bagi
Allah, tuan punya yang memiliki sekalian alam.”
“ Yang Maha Penyayang,
Yang Maha Pengasih”.
Setibanya
di perenggan itu, kerongkongnya bagai disekat, bacaannya terhenti, jiwanya
bagai diketuk halus dengan kalam indah Tuhan yang Maha Esa ini. Bagaimana
mungkin Tuhan yang menguasai seluruh alam, yang memiliki, yang menciptakan,
yang mentadbir seluruhnya, yang bisa melakukan apa sahaja, mempunyai sifat yang
Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap makhluk-makhluk-Nya ?
Diberinya langit dan awan yang menenangkan,
dibentangkan air lautan yang penuh manfaat,ditumbuhkan daripadanya pohon-pohon
hijau yang mendamaikan rasa, diciptanya haiwan peliharaan sebagai peneman. Air
matanya kelihatan bergenang, satu-persatu titisan air matanya menitik di
wajahnya yang suci. Subhanallah, betapa saat itu dia merasakan seperti
benar-benar dalam pelukan kasih sayang Allah!
Diteruskan
irama cintanya yang membuai perasaan,
“ Yang Memiliki Hari
Pembalasan. “
“ Hanya pada-Mu lah
kami mengabdikan diri, dan hanya pada-Mu jualah kami memohon pertolongan. “
Ditenung bait ungkapan tersebut, terus iman dihatinya
berbicara, Allahu Allah, Tuan Punya Segala, bait ungkapan ini bukan saja-saja
disusun sebegitu rupa, fikirnya. Ada sesuatu untuk disampaikan oleh-Nya. Akal
fikirannya segera bekerja tuntas, memikirkan mengapa harus ditulis ‘Hanya
pada-Mu’ dahulu ? Boleh sahaja pada pengiraan penguasaan Bahasa Melayunya yang
cetek itu untuk ditulis ‘Kami mengabdikan diri hanya pada-Mu’.
Oh, rasa ingin tahunya kembali bergelojak, ditanyakan
persoalan itu pada murabbi liqa’nya . Murabbi itu hanya tersenyum lembut.
Perlahan-lahan dijawabnya penuh hikmah.
“ Allah itu bicaraNya
penuh rahsia dan hikmah. Khusus untuk hamba-hambaNya yang ingin berfikir.
KalamNya bukan yang biasa-biasa, perlu akal dan hati untuk melihat apa yang
tersirat. Sudah sucikah hati kita? Sudah digilapkah akal fikiran kita?”
“Allah itu ingin
berbicara sama kamu. Diletakkan matlamat utama hanyalah Dia. Dalam setiap
langkah. Setiap saat. Bukan hanya ibadah khusus yang dilakukan semata-mata, malahan
di setiap ketika dalam amal bicara, di atas medan perjuangan kita sebagai
hambaNya yang paling istimewa.”
Jiwanya tersentuh. Betapa dia merasakan setiap
pergerakannya perlu ada Dia sentiasa, bagaikan darah yang mengalir didalam
tubuh badannya, diperlukan tiap saat. Namun, Allah jualah yang Maha Mengetahui, hambaNya itu
perlukan tempat bergantung, fitrah diri manusia itu lemah. Sekuat dan setabah
mana pun dilihat manusia lain ketika itu, dia punya Allah sebagai tulang
belakangnya. Ya, kerana itulah, hanya kepada Dia kita memohon pertolongan!
Hatinya mula dipasak keyakinan. Kepercayaan yang
ditanamnya mula membuahkan harapan, mungkin tidak setinggi gunung-gunung yang
dilihatnya menjulang ke langit. Namun, itu pun sudah cukup untuk dia mengumpul
kekuatan menghadapi mehnah diluar sana nanti. Betapa jiwanya merasakan bagai
ditiup hammasah baru tika mana bibirnya mengungkap bacaan
penuh kekuatan ini.
"(Setelah
diterangkan yang demikian) Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta
memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup ( yang
mengahalangnya daripada memerima ajaran al-Quran)?
(Surah Muhammad: 24)
No comments:
Post a Comment