Monday, March 24, 2014

Infiniti

Langit biru jadi saksi, antara asbab untuk terus thabat di jalan yang panjang ini.
Tanpa mereka, tiadalah kekuatan, hanya motivasi iman jadi sandaran, atas kesatuan fikrah dan hati. Moga jadi butir-butir amalan di sana kelak.
MIJ 2014

Tuesday, March 18, 2014

Perit



Ada satu jalan ini, jalannya sukar lagi memeritkan, kebiasaan pengembaranya keseorangan, punya liku dan cabaran yang tersendiri, berbeza caranya dengan pengembara-pengembara yang lain. Adapun pada pandangan pengembara itu, baginya itu suratan, ujian kesenangan hidup mahupun ujian keperitan hidup, ianya menguji tahap kesyukuran dan kesabaran yang tidak berbelah bahagi.

"Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya baik baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki kecuali oleh seorang mukmin. 
Apa bila ia mendapat kesenangan ia bersyukur dan itulah yang terbaik untuknya. 
Dan apabila mendapat musibah ia bersabar dan itulah yang terbaik untuknya." (shahih muslim). 


Jiwa terasa kosong ?

Ubati ia dengan zikrullah, amal fardhi yang bisanya menjamin kekuatan rohani manusia. Jiwa yang tenang akan kembali mencari pemiliknya Yang Satu.

Jiwa terduduk longlai ?

Telusurilah sirah-sirah perjalanan para Nabi AS dan para Sahabat RA, tidaklah mereka dijadikan pengubat dan penguat melainkan untuk kita teladani dan mengambil 'ibrah. Kisah hidup mereka penuh liku dan cabaran, nyata bagi jiwa yang dekat, mampu merasai kebersamaan dan menempuh ranjau. Tiada apa bagi manusia, melainkan Allah swt mengutuskan mereka sebagai uswatun hasanah.



Dan, kuatkanlah jiwa dan hatimu dengan ikatan rabbani,  nescaya apa sahaja sekali pun rintangan yang dihadapan, pasti jua mampu diharungi, kerna itu kita tahu, kepada siapa kita tuju.

Tulisan ikhlas kepada mereka yang masih mencari kekuatan, garaplah tali bahtera keimanan, bersama-sama kita, punya pasak yang kuat, ikatan yang ampuh dan kemas, yang tidak bisa terlerai dengan hanya datangnya ujian mahupun rintangan.

Majulah !




Wednesday, March 12, 2014

Review Filem : " ? " Tanda Tanya


Berkesempatan untuk menonton filem ini  tatkala ahli group Whatsapp saya hangat membincangkan tentang ideologi-ideologi  pluralisme, liberalisme, hedonisme dan 'isme-isme' yang lain, saya habiskan masa hampir satu jam setengah untuk cuba memahami mesej yang tersirat yang cuba dibawa oleh sutradara ternama Indonesia, Hanung Bramantyo dalam filemnya kali ini. Ditayangkan di Indonesia pada 7 April 2011 yang lalu, baru sahaja tahun 2014 ini saya berpeluang untuk menontonnya.

Secara keseluruhannya, filem ini menceritakan konsep perbezaan dan kepelbagaian masyarakat yang hidup dalam sebuah lokaliti majmuk yang saling berkait antara satu sama lain. Walaupun dalam komuniti sekecil Kampung Pasar yang mempunyai latar belakang pelbagai, nyata mesej tersirat yang cuba digarap oleh Hanung Bramanto mengundang seribu satu tafsiran daripada penontonnya. Nasihat saya kepada siapa-siapa yang ingin mulai menonton filem itu agar bersiap siaga dengan fikrah dan asas-asas Islam yang mantap.

Disclaimer : Ini hanya menurut pandangan saya, seorang awam yang beragama Islam yang sudah menonton, dan tergerak untuk menceritakan kepada masyarakat.


Cerita 1

Saya memberi gambaran mengikut aliran cerita dalam filem ini yang bersimpang-siur dan berselirat bagi memudahkan penceritaan dan pemahaman. Filem ini dimulai dengan cerita pertama, seorang isteri muslimah, Menuk ( Revalina S Temat ) yang bekerja di sebuah restoran Cina, An Kat Sut yang nyata ada penjualan khinzir dan minuman alkohol dalam perniagaannya. Dinyatakan Menuk merupakan wanita berjilbab yang sudahpun berkahwin dengan Soleh, si penganggur yang taat pada agama, namun tidak punya pekerjaan untuk menyara keluarga.

Ping Hen, anak muda Tauke An Kat Sun yang secara terangan menunjukkan permusuhannya terhadap Soleh, atas sebab yang samar saya kira, tidak pasti adakah permusuhannya kepada ISLAM ataupun permusuhannya atas dasar cemburu kepada MUSLIM ( diceritakan, Ping Hen dan Menuk punyai kisahnya tersendiri, yang akhirnya Menuk memilih Soleh sebagai suami kerana taatnya beliau kepada agama ).

Cerita 2

Pengisahan permurtadan seorang wanita yang sudah bercerai, Rika ( Endhita ) kepada Katholik namun diajari juga anak lelakinya, Abi dengan nilaian seorang Muslim, dihantar mengaji al-Quran di Masjid seperti kebiasaannya. Saya petik skripnya dalam filem, "...dan Aku pindah agama, bukan kerana Aku mengkhianati Tuhan.". Baginya hak untuk memilih Tuhan itu merupakan pilihannya sendiri, seolahnya bertukarlah ke mana-mana agama sekali pun, tujuannya tetap untuk menuju Tuhan.

Saya melihat kekeliruan yang berlaku kepada anak lelakinya, yang masih dididik dengan nilaian Muslim, ejekan kawan setadikanya kerana ibunya seorang Katholik, penuh soalan dan pertanyaan begitu-begini terhadap ibunya, hingga akhirnya dia boleh menerima keputusan dan keadaan ibunya ( seorang Katholik ) dan hidup seperti keluarga biasa yang lain.

Cerita 3

Teman Rika, Surya merupakan seorang pelakon pembantu yang menetap di Masjid, diakhir-akhir pekerjaannya, kelihatan tekanan hidup dan emosi seringkali mengganggu taraf hidupnya, yang akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran berlakon menjadi pelakon utama iaitu Jesus kepada upacara kebudayaan Gereja.

Konflik cerita yang kompleks ini berjaya membuatkan penonton untuk duduk dan berfikir sendiri, hadaf utama teknik penceritaan dimainkan. Sepertinya Pak Hanung ingin memberitahu dunia, kepelbagaian masyarakat di Indonesia, khususnya, hidup dalam harmoni dan toleransi beragama berasaskan pluralisme, dimana seorang manusia itu berhak untuk membuat pilihan beragama dalam kehidupannya, sehinggakan Rika memilih untuk murtad walaupun mendapat tentangan daripada suami dan keluarganya.

Contoh lain yang ingin saya bawakan, betapa kesempitan hidup yang dialami Surya ( Agus Kuncoro ), seorang Muslim membuatkan beliau yang pada mulanya ragu-ragu untuk menerima pelawaan Gereja akhirnya bersetuju untuk menjadi pelakon utama sebagai Jesus; setelah Ustaz ( lakonan David Chalik ) memberi nasihat yang moderat, tikamana selagi mana hatinya terjaga daripada mensyirikkan Allah, tiada upaya walaupun menjadi Jesus, mampu merubah hati. Tokoh agama yang moderasi juga cuba ditampilkan dalam filem ini seperti Pastor Gereja juga sedia malah terbuka untuk menerima seorang Muslim menjadi pelakon utama dalam acara kebudayaannya.

Adakah Pak Hanung mengerti dan mengetahui, beriman kepada Allah itu, bukan sahaja melalui hati, namun mesti juga dibuktikan dengan amal perbuatan ? Nah, saya melihatkan satu kerisauan ideologi yang dipromosi melalui filem ini.

Kritikan saya juga terhadap sesetengah agamawan yang lantas menawarkan solusi yang sedemikian tanpa memikir kesan dan akibat. Ustaz tersebut nyata melihatkan keterlebihan toleransinya dengan agama lain, malah tidak juga cuba untuk mencadangkan alternatif lain buat pemuda Surya ini. Normalisasi inilah yang cuba diterapkan dalam fikiran anak muda, dengan kesan akan lahirlah anak muda yang kurang sensitif kepada masyarakat sekelilingnya. Tinggal sahaja kita ini ditujah dengan pemikiran dari segenap sudut, dalam keadaan sedar ataupun tidak.



PERSOALAN YANG HAKIKI

Terlalu banyak konflik yang diceritakan melalui filem ini, yang nyata berakhir dengan mimpi bagaimana sebenarnya keharmonian yang akan dicapai sekiranya setiap orang mengikut untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Saya percaya pada konsep masyarakat dan komuniti, tetapi untuk hidup dalam kondisi hak asasi tanpa batasan dan syariat, ianya akan membawa kepada kemusnahan yang akan berbalik kepada kita sendiri. Akan hancurlah institusi kekeluargaan misalnya, kekeliruan menetapkan hak dan nasab keturunan, dan contoh-contoh kemudaratan yang lain.

Tidak boleh tidak, perlu ada Nizom yang syumul untuk kita rujuk dan ikut yang tidak pun - pada hemat saya - mengongkong kebebasan manusia itu sendiri. Kerana itu, syariat diturunkan untuk memandu manusia, akal manusia yang terbatas sahaja tidak cukup untuk menimbang-tara kebaikan atas keburukan. Wallahu'alam.










Wednesday, March 5, 2014

Makna Pembuka Segala



Mata yang dipejam  terbuka. Mencelik  sedar dari lena  yang panjang. Lantas hatinya spontan berbicara “ Alhamdulillah, terima kasih ya Allah! Kau masih beri aku segala.” Sepanjang  sepertiga malam itu, luluh hatinya membisik kata cinta. Genta rasa seorang hamba. Sedaya-upaya dirinya melaksanakan zikir akbar, solat penghubung diri kepada-Nya.

Bibir mengungkap satu-persatu kata-kata cinta,

 “ Dengan nama Allah yang maha Penyayang lagi Maha Pengasih. “

“ Segala Puji bagi Allah, tuan punya yang memiliki sekalian alam.”

“ Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengasih”.

Setibanya di perenggan itu, kerongkongnya bagai disekat, bacaannya terhenti, jiwanya bagai diketuk halus dengan kalam indah Tuhan yang Maha Esa ini. Bagaimana mungkin Tuhan yang menguasai seluruh alam, yang memiliki, yang menciptakan, yang mentadbir seluruhnya, yang bisa melakukan apa sahaja, mempunyai sifat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap makhluk-makhluk-Nya ?

 Diberinya langit dan awan yang menenangkan, dibentangkan air lautan yang penuh manfaat,ditumbuhkan daripadanya pohon-pohon hijau yang mendamaikan rasa, diciptanya haiwan peliharaan sebagai peneman. Air matanya kelihatan bergenang, satu-persatu titisan air matanya menitik di wajahnya yang suci. Subhanallah, betapa saat itu dia merasakan seperti benar-benar dalam pelukan kasih sayang Allah!
Diteruskan irama cintanya yang membuai perasaan,

“ Yang Memiliki Hari Pembalasan. “

“ Hanya pada-Mu lah kami mengabdikan diri, dan hanya pada-Mu jualah kami memohon pertolongan. “

            Ditenung bait ungkapan tersebut, terus iman dihatinya berbicara, Allahu Allah, Tuan Punya Segala, bait ungkapan ini bukan saja-saja disusun sebegitu rupa, fikirnya. Ada sesuatu untuk disampaikan oleh-Nya. Akal fikirannya segera bekerja tuntas, memikirkan mengapa harus ditulis ‘Hanya pada-Mu’ dahulu ? Boleh sahaja pada pengiraan penguasaan Bahasa Melayunya yang cetek itu untuk ditulis ‘Kami mengabdikan diri hanya pada-Mu’.

            Oh, rasa ingin tahunya kembali bergelojak, ditanyakan persoalan itu pada murabbi liqa’nya . Murabbi itu hanya tersenyum lembut. Perlahan-lahan dijawabnya penuh hikmah.
“ Allah itu bicaraNya penuh rahsia dan hikmah. Khusus untuk hamba-hambaNya yang ingin berfikir. KalamNya bukan yang biasa-biasa, perlu akal dan hati untuk melihat apa yang tersirat. Sudah sucikah hati kita? Sudah digilapkah akal fikiran kita?”

  “Allah itu ingin berbicara sama kamu. Diletakkan matlamat utama hanyalah Dia. Dalam setiap langkah. Setiap saat. Bukan hanya ibadah khusus yang dilakukan semata-mata, malahan di setiap ketika dalam amal bicara, di atas medan perjuangan kita sebagai hambaNya yang paling istimewa.”



            Jiwanya tersentuh. Betapa dia merasakan setiap pergerakannya perlu ada Dia sentiasa, bagaikan darah yang mengalir didalam tubuh badannya, diperlukan tiap saat. Namun, Allah  jualah yang Maha Mengetahui, hambaNya itu perlukan tempat bergantung, fitrah diri manusia itu lemah. Sekuat dan setabah mana pun dilihat manusia lain ketika itu, dia punya Allah sebagai tulang belakangnya. Ya, kerana itulah, hanya kepada Dia kita memohon pertolongan!

            Hatinya mula dipasak keyakinan. Kepercayaan yang ditanamnya mula membuahkan harapan, mungkin tidak setinggi gunung-gunung yang dilihatnya menjulang ke langit. Namun, itu pun sudah cukup untuk dia mengumpul kekuatan menghadapi mehnah diluar sana nanti. Betapa jiwanya merasakan bagai ditiup hammasah  baru tika mana bibirnya mengungkap bacaan penuh kekuatan ini.

"(Setelah diterangkan yang demikian) Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup ( yang mengahalangnya daripada memerima ajaran al-Quran)?


                                                                                                 (Surah Muhammad: 24)